SEJARAH SECENDRA

Sekolah Kebangsaan Cenderawasih didirikan di kawasan seluas 6.37 ekar, sesuai dan menjadi mercu tanda bagi kawasan Perumahan Bukit Setongkol dan kawasan Perumahan Cenderawasih. Letaknya 4 kilometer dari Pusat Bandar Kuantan di pinggir Sungai Kuantan dengan kehijauan flora dan fauna di hutan paya bakau telah menjadikan sekolah Kebangsaan Cenderawasih sebagai sebuah pusat pendidikan yang kondusif serta selesa untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

Sekolah ini mula beroperasi pada Disember 1990 dengan seramai 988 orang murid dan bertambah sehingga 1178 orang murid yang beroperasi dua sesi. Bilangan guru seramai 69 orang dan kakitangan sokongan seramai 10 orang. Pertambahan murid yang pesat pada tahun 2000 telah menjadikan sekolah mendapat 1 blok bangunan yang baru setinggi empat tingkat dan pada tahun 2002, makmal komputer telah dibangunkan bagi menampung keperluan semasa.

Setelah hampir 27 tahun beroperasi, sekolah ini telah menempa beberapa kejayaan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum malah akan terus berusaha untuk menjadikan sekolah ini salah sebuah pusat ilmu tersohor pada masa akan datang. Pada tahun 2015, SKC telah berjaya menjadi 5 terbaik peringkat kebangsaan dalam Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum. Seorang murid SKC juga telah dinobatkan sebagai Johan Murid Cemerlang Kokurikulum Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan. Pada tahun 2016, SKC telah menjadi penanda aras dalam pengurusan kecemerlangan kokurikulum oleh sekolah-sekolah di dalam dan luar Negeri Pahang. SKC juga telah berjaya menduduki tempat ketiga dalam anugerah tersebut. Pada tahun 2016 juga, SKC menjadi Johan Kebangsaan untuk Anugerah Pilihan GPS Bestari dan Johan Kebangsaan untuk Anugerah Sekolah Handal Sukan dan Kokurikulum GPS Bestari.

Kemuncak kejayaan sekolah telah ditempa pada tahun 2017 di mana SKC telah dinobatkan sebagai Johan Kebangsaan untuk Anugerah Kokurikulum Kebangsaan bagi kategori Sekolah Cemerlang Bandar dan turut mendapat Naib Johan Kebangsaan bagi kategori Murid Cemerlang Kokurikulum.